LONDON - Liverpool mengharungi perlawanan penentuan Liga Juara-Juara di Olympique Lyon dengan 10 pemainnya cedera dan mungkin tidak dapat diturunkan dalam pertemuan esok.
Situasi itu merupakan krisis terbesar dihadapi oleh Rafael Benitez sepanjang lima tahun di Anfield.
Harapan Benitez untuk menurunkan pemain baru Alberto Aquilani terlaksana tetapi posisi tengah mereka tanpa kelibat ketua pasukan, Steven Gerrard (cedera pangkal paha), Albert Riera (otot), pemain pertahanan Martin Kelly (pergelangan kaki) dan Martin Skrtel (otot).
Liverpool setakat ini kalah enam daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, termasuk tunduk 1-2 kepada Lyon dua minggu lalu.
Peluang untuk mara ke peringkat kalah mati terus 'tergantung' jika mereka kalah di Stade Gerland.
Lyon di tangga teratas Kumpulan E dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan dan akan layak ke ke pusingan 16 pasukan jika mereka menang.
Fiorentina yang menanti kedatangan pasukan tercorot Debrecen, di tangga kedua dengan enam mata, diikuti Liverpool (3 mata) dan kelab Hungary, Debrecen tanpa mata.
Liverpool yang memenangi Piala Eropah lima kali dan mara sekurang-kurangnya ke suku akhir selama tiga musim, tidak pernah mempamerkan prestasi seperti ini apabila kalah lapan daripada 16 perlawanan dalam semua kejohanan.
Penyerang mereka dari Sepanyol, Fernando Torres yang digantikan pada minit ke-63 walaupun menjaringkan gol ketika menang 3-1 ke atas Fulham, Sabtu lalu dijangka beraksi dengan kesakitan akibat kecederaan otot yang dialami ketika perlawanan antarabangsa bulan lalu.
"Kami akan cuba menangani dia (Torres) kerana dia hampir untuk menjalani pembedahan. Kami terpaksa membawa Fernando ke Lyon kerana kami tidak banyak pilihan,'' kata Benitez dalam laman web kelab www.liverpoolfc.tv kelmarin.
Glen Johnson (kecederaan betis), Daniel Agger (belakang) dan David Ngog (pergelangan kaki) serta Fabio Aurelio (betis) merupakan antara pemain yang masih bergelut untuk cergas.
Jamie Carragher yang dibuang padang ketika menentang Fulham bersama-sama Philipp Degen, berkata: ''Ini merupakan saat sukar, ia menyakitkan.
"Kami melakukan beberapa perkara minggu lalu dengan mengalahkan Manchester United tetapi kami kalah dua perlawanan.
"Kami perlu menyelesaikan masalah ini minggu ini di padang latihan kerana Lyon merupakan satu lagi perlawanan penting.''
Sementara itu, Lyon bangkit daripada dua kekalahan liga dengan menang 1-0 ke atas musuh ketat St. Etienne, Sabtu lalu dan kini di tangga kedua dalam Liga Perancis, dua mata di belakang Girondins Bordeaux.
Bafetimbi Gomis masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol kemenangan ke atas bekas kelabnya pada enam minit akhir perlawanan dan membuktikan kelab Perancis itu tidak seperti Liverpool, boleh bergantung kepada pemain gantian jika diperlukan.
Penjaga gol Perancis, Hugo Lloris mempamerkan aksi cemerlang, menafikan beberapa percubaan berbahaya Etienne.
"Walaupun jika kami tertekan, sekali lagi kami menamatkan permainan dengan mantap, seperti mana di Anfield.
"Sekarang kami memikirkan tentang Liverpool, ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar,'' kata presiden kelab, Jean-Michel Aulas.
Penyerang dari Argentina, Lisandro Lopez dijangka diturunkan di barisan depan, dibantu oleh pemain Perancis Sidney Govou dan pemain Brazil, Michel Bastos di posisi sayap.
Pemain tengah Perancis, Jeremy Toulalan dijangka meneruskan tugas di pertahanan tengah kerana Jean-Alain Boumsong masih mengalami kecederaan pangkal paha. - REUTERS
No comments:
Post a Comment