LIVERPOOL: Steven Gerrard sedar tempatnya menyertai senarai legenda Liverpool sudah terjamin, tetapi kapten di Anfield itu masih belum berpuas hati sehinggalah dapat menamatkan penantian 19 tahun kelab itu untuk dinobatkan raja bola sepak England.
Ketika bekas pengurus legenda skuad Reds, Bill Shankly menyifatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai ‘mata pencarian’ buat Liverpool pada era 1960-an, beliau sebenarnya menekankan keinginan kelab itu untuk menjuarai semua trofi dipertandingkan di England.
Ramalan itu dilihat bakal termaktub dalam buku sejarah apabila Rafael Benitez tiba di Anfield pada 2004.
Dalam Liga Juara-Juara Eropah, kepakaran taktikal Benitez dan aksi hebat Gerrard menghadirkan kejayaan kempen 2005 dan penampilan final, dua tahun kemudian.
Rekod perlawanan itu membuktikan kualiti Gerrard terhadap barisan kendalian Benitez yang tidak pernah menjadi lebih baik sejak pengurus Liverpool itu memilih menggandingkannya dengan penyerang antarabangsa Sepanyol, Fernando Torres.
Ketika Gerrard sekadar memanaskan bangku simpanan kerana kecederaan musim lalu, Liverpool ternyata hilang tenaga dan gerakan Torres mudah dipatahkan ketika pertahanan lawan memenuhi kotak penalti hingga mereka kerap mencatat seri.
Jika Gerrard mampu kekal cergas dan mencapai prestasi terbaik, gandingannya dengan Torres akan mengundang kebimbangan kepada jentera pertahanan seluruh Eropah.
Menangani seorang daripada gandingan itu mungkin mudah, tapi untuk menghalang kedua-duanya adalah sesuatu yang mustahil.
United ternyata gagal melaksanakan tugas itu di Old Trafford, musim lalu ketika Gerrard dan Torres memainkan peranan penting terhadap kemenangan besar 4-1.
Keputusan itu memberi makna besar buat Liverpool bahawa mereka bakal menyinar musim ini, dengan pertahanan veteran, Jamie Carragher segera menekankan kepentingan gandingan Gerrard dan Torres.
“Tiada pasukan lain di England memiliki gandingan seperti Gerrard dan Torres.
“Sesuatu yang pelik bercakap mengenai Stevie bertindak sebagai penyerang, tapi itulah peranannya ketika ini dan dalam posisi itu di belakang penyerang utama, tiada yang lebih baik daripadanya,” kata Carragher. - AFP
No comments:
Post a Comment