
MADRID: Jurulatih Liverpool dari Sepanyol, Rafael Benitez, yang masih belum pasti nasibnya di Anfield dan dikatakan bakal berpindah ke Itali berkata, masa depannya masih bersama kelab itu.
“Saya masih mempunyai baki empat tahun daripada kontrak saya di Liverpool. Saya cukup gembira. Saya harap Liverpool akan kembali kompetitif. Masa depan saya ketika ini adalah bersama Liverpool,” katanya ketika sidang media di Madrid.
Jurulatih berusia 50 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus. Dia juga dinamakan sebagai pengganti berpotensi selepas Jose Mourinho di Inter Milan jika jurulatih Portugal itu berpindah ke Real Madrid.Bagaimanapun Inter Milan menafikan laporan bahawa mereka sudah menghubungi Benitez manakala Juventus dijangka mengumumkan bekas pakar taktik Sampdoria, Luigi Del Neri sebagai jurulatih baru mereka lewat minggu ini.
Benitez yang menyertai Liverpool sejak 2004, berkata minggu lalu bahawa dia tidak boleh bercakap mengenai “masa depannya secara jangka panjang”.Liverpool berdepan musim mengecewakan, menamatkan musim Liga Perdana Inggeris di tangga ketujuh iaitu keputusan terburuk sejak 11 tahun lalu. Kelab itu juga tersingkir awal dari Liga Juara-Juara dan Piala FA. - AFP
No comments:
Post a Comment