HULL: Rafael Benitez akan bertemu pemilik Liverpool minggu ini dan menjelaskan tiada jaminan kedudukannya di kelab itu sekiranya mereka berhasrat menjual Fernando Torres dan Steven Gerrard.
Timbul cadangan pemilik bersama Tom Hicks dan George Gillett mungkin terpaksa menjual aset berharga kelab itu selepas hutang kelab mencecah 330 juta pound (RM1.85 bilion) tetapi Benitez berkeras perkara itu tidak harus dilakukan sekiranya dia ingin dikekalkan di Anfield. Pengurus warga Sepanyol itu dilaporkan sudah mendapat tawaran untuk berpindah ke kelab Itali, Juventus, manakala Real Madrid juga mungkin menjadi destinasi sekiranya dia tidak gembira dengan situasi di Liverpool.
Mengulas musim penuh kehambaran kelab itu yang berakhir dengan keputusan seri 0-0 ketika menentang kelab yang sudah tersingkir Hull kelmarin, Benitez berkata: “Ada pertemuan dengan pengerusi sebelum ini. Ia positif dan kami akan bertemu lagi selepas ini, Saya akan bercakap beberapa perkara dengan pengerusi.
“Jika saya kekal, saya tidak akan terfikir untuk menjual Gerrard dan Torres, walau apapun yang mungkin anda dengar daripada sumber kanan di dalam kelab ini. Ini penting untuk kestabilan kelab.
“Tetapi saya tidak mahu menjual kedua-dua pemain itu. Saya jelas mengenainya. Pengerusi juga jelas, dia juga tidak mahu menjual mereka.”
Jika Benitez kekal, dia percaya Liverpool akan memberi persembahan lebih baik musim depan berbanding musim ini yang dicemari dengan penyingkiran peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris dan gagal dalam semua saingan domestik. – AFP
No comments:
Post a Comment