LONDON - John Arne Riise menggesa penyokong Liverpool memberikan masa kepada penggantinya di Anfield, Andrea Dossena untuk menyesuaikan diri dalam saingan bola sepak Liga Perdana England.
Pemain antarabangsa Norway berusia 28 tahun itu menghabiskan tujuh tahun di Liverpool sebelum menyertai Roma pada Jun tahun lalu.
Sebulan kemudian, Liverpool bersetuju dengan satu yuran yang dirahsiakan bagi mendapatkan bek kiri, Dossena dari Udinese.
Pemain antarabangsa Itali berusia 27 tahun itu bergelut untuk mencipta namanya di England, namun Riise tidak meragui kemampuan teknikal Dossena dan enggan mengkritik pengurus Liverpool, Rafael Benitez kerana mengakhiri kariernya di Liverpool.
Riise, yang bercakap menjelang perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah menentang Arsenal enggan mempertikaikan tindakan Benitez menggantikannya dengan Dossena.
"Sukar bagi saya mengulas mengenainya. Saya gembira di tempat saya sekarang tetapi ia setiap pemain memang memerlukan masa apabila beraksi bersama pasukan baru.
"Saya fikir itu juga berlaku kepada Dossena, dia adalah pemain yang bagus tetapi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak England.
"Sudah tentu, saya akan merindui semua orang di Liverpool kerana saya berada di sana selama tujuh tahun. Namun saya telah memulakan karier baru di Rome dan saya gembira di di tempat baru.
"Saya menikmati kegemilangan di Liverpool. Saya memenangi satu Liga Juara-juara bersama mereka, jadi saya tidak mahu merungut," kata Riise yang cemerlang di Monaco sebelum menyertai Liverpool.
Walaupun kini tinggal di ibu kota Itali, Riise masih mengikuti perkembangan Liga Perdana England dan gembira melihat bekas kelabnya menyaingi gelaran liga.
Liverpool ketika ini berada di tangga kedua, tujuh mata di belakang pendahulu, Manchester United dan Riise berkata, mereka perlu mula memenangi setiap perlawanan untuk memintas penyandang juara itu.
"Tahun ini, Liverpool bertarung bagi gelaran. Saya tahu mereka kini di belakang, tetapi mereka masih di landasan yang baik" kata Riise. - AFP
No comments:
Post a Comment