Pengurus Real Madrid menagih sentuhan pemain sayap Arjen Robben menjelang pertemuan menentang Liverpool pada pusingan pertama Liga Juara-juara Eropah (CL) awal pagi ini. Real yang berada pada tahap terbaik selepas menundukkan Real Betis 6-1 di gelanggang sendiri hujung minggu lalu tidak sabar melayan kunjungan anak buah Rafael Benitez.
The Merengues kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Barcelona dan Robben menjadi senjata utama Ramos. “Robben semakin menjadi-jadi sejak saya tiba di Santiago Bernabeu. Dia lain daripada yang lain. Dia begitu pantas dan memiliki kekuatan untuk melepasi benteng pertahanan,” kata Ramos.
Liverpool kini sedang berusaha untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu Manchester United. Namun prestasi hambar di pentas England tidak mematikan semangat Benitez untuk menguasai gelanggang Eropah musim ini. Real perlu menundukkan Liverpool di gelanggang sendiri jika mahu mara ke peringkat suku akhir. Ramos menginginkan kelebihan tiga gol di gelanggang sendiri untuk memudahkan laluan mereka ketika berkunjung ke Anfield pada pusingan kedua.
Sementara itu, Daniel Agger disahkan tidak menyertai kunjungan ke Santiago Bernabeu kerana masih bergelut dengan kecederaan belakang manakala kapten The Reds, Steven Gerrard berjaya menjalani ujian kecergasan pada saat akhir. “Gerrard turut menyertai penerbangan ke Bernabeu. Philipp Degen dan Agger terpaksa diketepikan manakala pemain lain cergas sepenuhnya,” kata Benitez.
Benitez belum memutuskan sama ada Sami Hyypia atau Martin Skrtel akan diturunkan untuk bergandingan dengan Jamie Carragher di bahagian pertahanan.
No comments:
Post a Comment