LONDON: Disuntik semangat berbekal kejayaan manis ke atas gergasi Sepanyol, Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool berpeluang meniup nafas baru dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika kebanyakan pemerhati sudah pun menyerahkan mahkota kejuaraan itu kepada Manchester United.
Ketika United pimpinan Sir Alex Ferguson bakal menyambung usaha memburu trofi berikut apabila menentang Tottenham Hotspur dalam final Piala Liga di Stadium Wembley, esok, pencabar terdekat mereka, Liverpool akan berkunjung ke Middlesbrough dengan tiga mata menjadi misi utama. Dua lagi kelab Inggeris Chelsea dan Arsenal yang menyudahkan cabaran masing-masing dalam Liga Juara-Juara dengan nota gembira juga dijangka menyambung rentak sama apabila barisan pimpinan Guus Hiddink menentang Wigan manakala The Gunners menentang Fulham, hari ini.
Bagi Liverpool pula, sejarah kebelakangan ini sekadar memberi gambaran bahawa ia mungkin cabaran sukar buat anak buah Rafael Benitez yang belum lagi memenangi perlawanan di Riverside tetapi tidak dapat diragui moral sepasukan ketika ini tinggi selepas melakar kemenangan penting di San Bernabeu.
Usaha untuk memadamkan spekulasi bahawa pengurus berbangsa Sepanyol itu sudah bersedia untuk meninggalkan kelab ini juga turut menaikkan semangat, sekalipun beberapa kenyataannya hanya sekadar menggalakkan lagi khabar angin yang menyebabkan agensi pertaruhan berhenti daripada mengambil pertaruhan mengenai jurulatih itu akan meletakkan jawatan, akhir bulan ini.
Benitez dijadual mengadakan beberapa lagi perbincangan dengan pemilik Liverpool berbangsa Amerika, George Gillett dan Tom Hicks, selepas pertemuan dengan Boro walaupun anak buahnya jurulatih itu tidak begitu yakin bahawa ketidaktentuan mengenai masa depannya akan diselesaikan dengan menandatangani kontrak jangka panjang.
Di atas padang, Liverpool tampak bergantung kepada kombinasi bakat penyerang Fernando Torres dan kapten Steven Gerrard - kedua-duanya mungkin tidak beraksi di Boro kerana masalah kaki dan kecederaan hamstring. Tetapi The Reds harus menjana satu lagi kemenangan berpandu kepada rentak semasa. AFP
No comments:
Post a Comment