Terus terang saya katakan, kenapa Liverpool tidak memikirkan perkara ini sejak dulu lagi? Mungkin mereka berpendapat tugas tersebut tidak sesuai untuk Kenny atau mungkin terlalu banyak perkara yang berlaku di sebalik tabir sehingga menjejaskan perancangan pembangunan itu. Apa pun, segala perancangan hendaklah memenuhi kehendak kedua-dua belah pihak. Saya percaya, Kenny adalah individu paling sesuai untuk tugas itu..
Saya juga masih ingat bagaimana Kenny berjaya memujuk saya untuk menyertai Liverpool. Dia memberitahu saya mengenai sejarah Liverpool dan dia juga terlalu mudah untuk diajak berbicara. Sebagai seorang pemain, Kenny adalah pemain yang bijak selain mempunyai visi yang luas mengenai apa yang berlaku di sekelilingnya. Begitu juga sikapnya ketika menjadi pengurus Liverpool. Dia memang bijak menilai kebolehan seseorang pemain.
Tugas baru ini adalah paling sesuai untuknya.Dia akan mencari pemain yang dapat menyesuaikan diri dengan sistem yang bakal diterapkan dan seterusnya memberi sumbangan kepada pencapaian Liverpool pada masa akan datang. Paling penting, Kenny boleh menjadi orang tengah kepada ibu bapa dan juga pemain seperti mana yang dilakukan oleh Alex Ferguson di Manchester United. Saya yakin dia melahirkan pemain berkualiti di kalangan pemain muda. Apa yang Kenny boleh bantu ialah - dia mungkin berjaya menyelesaikan masalah pada peringkat pembangunan di Liverpool. Liverpool tidak mempunyai pemain pelapis berwibawa dan saya yakin kenny boleh mengubah keadaan ini.
Pemain terakhir yang dilahirkan daripada program pembangunan ini ialah Steven Gerrard dan Jamie Carragher dan selepas itu tiada pemain yang mampu merebut tempat dalam skuad utama. Berbanding Manchester United, mereka sentiasa berjaya melahirkan pemain muda berwibawa. Bagi Everton pula, mereka boleh memberi jaminan kepada pemain muda mereka untuk diserapkan dalam skuad utama berbanding Liverpool dan atas sebab itu bakat yang mereka lahirkan terus mendapat perhatian.
Memang diakui, kedudukan kewangan turut memainkan peranan untuk melaksanakannya. Bagi saya, selagi pemain muda tidak mendapat tempat dalam skuad utama, pasti ada sistem yang tidak kena pada peringkat tersebut. Mungkin dengan pelantikan Kenny ini, ia akan membantu Liverpool mengatasi masalah ini. Saya yakin, Kenny akan menjadi pilihan paling popular jika mengambil kira pandangan pemain dan peminat.
No comments:
Post a Comment