LIVERPOOL -- Hanya satu cara buat Liverpool melupakan kekalahan memalukan kepada Chelsea pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara, Rabu lalu.
Skuad The Reds itu perlu mencatatkan kemenangan ke atas Blackburn Rovers pada saingan Liga Perdana England malam ini bagi membolehkan mereka terus menekan pendahulu, Manchester United.Hanya kurang 72 jam selepas dimalukan Chelsea di Anfield, skuad kendalian Rafael Benitez itu turun sekali lagi di gelanggang yang sama apabila berhadapan Blackburn.
Pemain tengah Liverpool, Lucas mengakui, suasana di kem pasukannya agak muram berikutan kekalahan 1-3 kepada Chelsea sehingga memaksa mereka mencari sekurang-kurangnya tiga gol pada pertemuan kedua di Stamford Bridge, Selasa depan.
Namun, pemain kelahiran Brazil itu percaya kemenangan ke atas Blackburn malam ini mampu mengembalikan semangat mereka apabila berdepan Chelsea sekali lagi.
"Adalah mustahil untuk kami tidak memikirkan perlawanan itu (menentang Chelsea) selepas pulang ke rumah. Tetapi pada latihan hari berikutnya, kami sudah kembali fokus untuk menghadapi Blackburn.
"Harap kami tidak melakukan kesilapan yang sama kerana kami masih berpeluang dalam pemburuan gelaran liga.
"Kami benar-benar kecewa tetapi kami perlu lupakannya kerana kami mempunyai perlawanan penting Sabtu ini (malam ini) dan suku akhir kedua Selasa depan," kata Lucas.
Memburukkan lagi keadaan, kapten Liverpool, Steven Gerrard belum pasti beraksi malam ini selepas masalah kecederaan pangkal paha.
"Gerrard tidak cergas seratus peratus, anda sendiri boleh melihatnya. Sama seperti Fernando Torres, dia kelihatan sedikit letih dan tidak setangkas sebelum ini," kata Benitez.
Di atas kertas, Liverpool dijangka tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Blackburn kerana pasukan lawan tidak pernah menang di Anfield sejak 1993.
Namun, pengurus Blackburn, Sam Allardyce turut hadir ke Anfield, Rabu lalu, sekali gus yakin para pemainnya mampu melakukan kejutan malam ini. - AFP
hope LIVERPOOL meneruskan rentak kemenangan...
ReplyDelete3 pts. itu saja harapan kami.
ReplyDelete