LIVERPOOL: Fernando Torres akan bekerjasama dengan petugas perubatan pada musim panas ini bagi memastikan masalah kecederaan yang membelenggunya sepanjang musim tidak berulang.
Pemain ternama Sepanyol itu membuktikan betapa penting kehadirannya dalam skuad Merseyside menerusi aksi menakjubkan ketika menentang Blackburn, kelmarin, dengan menghasilkan dua jaringan bagi membantu pasukannya menang 4-0.
Rekod 11 gol Torres sepanjang 19 perlawanan liga ialah yang kedua terbaik tapi kunci kejayaan Liverpool musim depan ialah menyaksikannya akan kerap diturunkan.
Sekembali dari Kejohanan Eropah bersama Sepanyol tahun lalu, menjelang musim baru, Torres kerap dilanda beberapa siri kecederaan.
Musim panas ini bakal menyaksikan penampilannya untuk Sepanyol dalam Piala Konfederasi di Afrika Selatan, dengan tempoh rehat dan proses pemulihannya banyak dibantu pengurus Liverpool, Rafa Benitez.
Torres mengakui bahawa dia beraksi lebih kerap musim ini apabila Liverpool mencapai posisi lebih kuat dalam liga.
Torres percaya, prestasi hebat kelmarin menentang pasukan bermasalah, Blackburn, menghadirkan tonik ideal menjelang aksi timbal balik Liga Juara-Juara Eropah di Chelsea, awal pagi Rabu ini.
Sekalipun tewas 1-3 di Anfield, minggu lalu, Torres enggan mengaku kalah kerana percaya Liverpool sudah membuktikan musim ini mereka mampu bangkit mengubah keputusan sebegitu. - Agensi
No comments:
Post a Comment