LONDON: Rafael Benitez percaya sifat wira milik pemain Liverpool - sekalipun gagal melakar kemenangan ke atas Chelsea dalam saingan Liga Juara-juara Eropah, awal pagi semalam - harus dipuji dan yakin ia bakal menyemarakkan semangat pasukan menjuarai mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Barisan didik Benitez tersingkir daripada pertandingan Eropah selepas gagal mengikis defisit kekalahan 1-3 dalam saingan suku akhir pertama dalam perlawanan kedua di Stamford Bridge.
Dua kali dalam saingan menakjubkan yang berkesudahan seri 4-4 itu, Liverpool hanya dipisahkan satu gol sahaja untuk mara ke separuh akhir sebelum rembatan Frank Lampard pada minit-minit terakhir memberi anak buah Guus Hiddink ruang bernafas untuk mara dengan agregat 7-5.
Di sebalik keperitan kalah kepada Chelsea dalam saingan Liga Juara-juara buat musim kedua berturut-turut, Benitez tidak melihat sebarang sebab untuk berasa kecewa.
Pengurus Liverpool itu yakin persembahan bersemangat pasukan membuktikan mereka mempunyai kekuatan mental dan fizikal untuk memintas pendahulu EPL, Manchester United.
The Reds kini hanya satu mata di belakang United dan berdepan perlawanan penting di tempat sendiri menentang Arsenal, Selasa ini.
“Kami tidak puas hati dengan keputusan ini. Apabila anda kalah anda terasa kecewa tetapi saya berasa pemain harus bangga dan mengangkat muka mereka,” kata Benitez.
“Kami menunjukkan perwatakan, kualiti dan perlu berasa bangga. Pemain melaksanakan tugas menakjubkan dan peminat pasti gembira dengan mereka.
Liverpool boleh berasa bangga mencabar Chelsea hingga ke saat akhir tanpa kelibat kapten Steven Gerrard. Pemain tengah England tidak diletakkan di bangku simpanan selepas menambah kecederaan pangkal paha hanya 24 jam sebelum perlawanan tetapi Benitez beranggapan dia akan cergas berdepan Arsenal. - AFP
No comments:
Post a Comment