Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menganggap 'perang psikologi' antara pengendali kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai iklan, ketika dia memilih untuk tidak terbabit dengan persengketaan di antara Sir Alex Ferguson dan Rafael Benitez.
Pengendali Manchester United, Ferguson menuduh rakan sejawatnya di Liverpool sebagai 'bongkak' dan 'menghina' berikutan tingkah laku warga Sepanyol itu sewaktu perlawanan menentang Blackburn Rovers di Anfield yang dimenangi tuan rumah 2-0.
Benitez yang tampak bertekad mahu memintas United dalam kedudukan carta liga sudah beberapa kali mengkritik Ferguson, musim ini.
Wenger, yang turut pernah bersengketa dengan Ferguson dan bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho ketika melatih kelab Inggeris itu, berkata pengurus pasukan bertanggungjawab sepenuhnya jika mahu diri mereka dihormati.
"Saya tidak mahu campur tangan kerana saya tidak tahu apa yang berlaku (antara Ferguson dan Benitez)," kata warga Perancis itu.
"Namun saya percaya, permainan ini (perang psikologi) adalah sesuatu yang sering diperbesar-besarkan.
"Ia adalah sebahagian daripada suasana yang berlaku dalam sukan ini dan juga bagi pihak media.
"Anda tidak tahu berapa besar kesan kerana sukar untuk mengukurnya. Ia sama seperti pengiklanan sesuatu yang diperlukan tetapi kita tidak tahu kesannya kepada jualan. Ia sama dengan perang psikilogi."
Arsenal kini sudah mengesahkan kedudukan di tempat keempat liga sekali gus mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah, musim depan tetapi ia jelas tidak cukup baik untuk Wenger.
"Kami tidak boleh gembira dengan hanya di tempat keempat. Tempat ketiga adalah penting, begitu juga tempat kedua. Tapi mengapa tidak mencuba untuk berada di atas?." AFP
No comments:
Post a Comment