
Dalam kegirangan menyambut raya samada berkunjung atau dikunjung oleh rakan taulan, peminat Liverpool akan dihidangkan dengan juadah Liga Perdana dengan perlawanan dengan Birmingham City. Rumah terbuka di Birmingham akan dilawati oleh tetamu dari Merseyside. Setelah lama kita berehat melihat kelibat pemain kita, kerana mereka siboldalam aksi antarabangsa, maka kesemua pemain akan kembali menyarung jersi kita. Dalam semua pulang gembira, hanya Mat Kuyt sahaja terpaksa berehat cuti sakit.
Kalau kita selidik sedikit pasukan tuan rumah, Brum ternyata pasukan mereka tidak banyak berubah. Namun mereka dapat membawa pemain bagus seperti Hleb, Zigic, Bousenjour dan Foster musim ini. Foster mungkin tidak sebagus Joe Hart digawang, namun beliau masih berpotensi menyaingi kehebatan Hart menjaga kubu Brum. Nasib baiklah Hleb cedera kalau tidak bolehlah kita tengok kelibat pemain yang hampir menyarung jersi kita. Zigic yang tinggi lampai masih belum menjadi pemain utama namun amat berbahaya jika Brum menggunkan kelebihan pemain galah tersebut.
Keseluruhan taktik yang digunakan oleh Mcleish amat efektif iaitu bertahan dengan kepadatan sardin cap ayam, dan akan melakukan serang balas apabila lawan terlalu alpa menyerang. Malahan bek mereka walaupun tidak ternama, namun tetap utuh bertahan dan sekali-sekala agak ganas mengasak penyerang lawan. Barisan tengah mungkin tidak dapat menandingi keupayaan kita, tetapi mereka bermain sebagai satu unit. Barisan depan mereka akan menggunakan kepantasan untuk memerangkap dan memanipulasi bek kita yang kurang pantas.
Berbalik kepada pasukan kita. Saya rasa kita akan dapat menyaksikan duo yang baru dibeli bermain untuk perlawanan sulung mereka. Miereles dan Konchesky pasti tak sabar-sabar untuk berikan aksi terbaik dan kita juga mahukan mereka supaya tidak menghampakan terutamanya bek kiri baru kita itu. Saya ingin fokuskan disini bahawa ramai peminat kurang yakin dengan pembelian kurang popular itu. Apa ingat Hodgson ada duit nak beli bek kiri macam Lahm. Bagi saya tiada masalah kalau siapapun yang Hodgson beli asalkan dia mampu berikan yang terbaik.
Torres sudah hampir cergas sepenuhnya. Dua gol bersama Sepanyol baru-baru ini adalah bibit pertanda kebangkitan El Nino. Saya harap dia akan berikan inspirasi seperti mana ketika lawan West Brom tempohari. Segala bebanan untuk menjaringkan gol masih terbeban dibahunya apabila Hodgson gagal membawa masuk penyerang baru sebelum tingkap perpindahan tutup. Jadi terpaksalah kita bergantung harap kepada Ngog sebagai pengganti jika ada aral berlaku kepada Torres. Alternatif lain mungkin Babel namun dia belum lagi diberi peluang sepenuhnya, jika benar Hodgson akan berikan peluang kepada Babel sebagai penyerang bukan lagi sebagai pemain sayap.
Nak tulis panjang pun dah tak larat lagi sebab perut masih penuh. Namun akhir kalam, Tiga mata adalah wajib dicuri dari tuan rumah. Dan saya yakin kita boleh lakukan dengan suntikan pemain baru dan pemain lama yang bakal memberi saingan sengit buat pasukan lain.
No comments:
Post a Comment