LONDON - Kapten Liverpool, Steven Gerrard mencabar rakan sepasukannya supaya berusaha lebih kuat musim depan untuk membuktikan mereka layak menjadi pencabar utama dalam Liga Perdana England.
Gerrard mahu mengutip tiga mata terakhir apabila berdepan Tottenham Hotspur esok dalam misi mengutip 86 mata, sekali gus menyaksikan The Reds muncul pasukan naib juara paling banyak mengutip mata pada satu musim dalam sejarah Liga Perdana England.
Perancang England itu juga menjelaskan bahawa pasukan mereka perlu mengelak daripada mencatat banyak keputusan seri seperti yang berlaku musim ini.
Gerrard mengakui keputusan seri berturut-turut di gelanggang sendiri ketika berdepan Fulham, West Ham dan Hull pada November dan Disember lalu telah menyekat hajat Liverpool menjulang gelaran juara.
The Reds juga hanya kalah dua perlawanan musim ini berbanding United yang kalah empat perlawanan.
"Jika lihat kembali kesemua tiga perlawanan ini, ia adalah kunci utama kerana jika kami menang, kami mungkin akan dimahkotakan kejuaraan atau sekurangkurangnya masih dalam persaingan," kata Gerrard.
"Tetapi itu menunjukkan betapa sukarnya untuk memenangi liga ini dan kamu juga perlu beraksi lebih baik di gelanggang sendiri dan memenangi semua perlawanan.
"Jadi, sekiranya kami menewaskan Spurs esok dan mengutip 86 mata, ia masih lagi satu pencapaian yang hebat.
"Saya sangat bangga. Musim ini adalah kali pertama kami terlibat dalam satu persaingan yang sengit merebut kejuaraan ini. dari pandangan peribadi saya, kami semua amat gembira."
- Agensi
No comments:
Post a Comment