LIVERPOOL - Pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano mengajak rakan senegaranya dari Argentina, Carlos Tevez (gambar) untuk menyertainya di Anfield.
Tevez sudah bersedia untuk meninggalkan Manchester United pada penghujung musim ini selepas juara Liga Perdana England itu gagal memenuhi tuntutan yuran perpindahan 30 juta pound (RM177.38 juta) yang diminta kumpulan pelabur yang menguruskan penyerang itu.
Laporan media England mendakwa, Liverpool mengetuai saingan untuk mendapatkan Tevez, dan Mascherano amat berharap perjanjian itu akan menjadi kenyataan.
Ketua pasukan Argentina itu bergandingan dengan Tevez dalam skuad kebangsaan negaranya, malah pernah berganding dengan Tevez ketika beraksi bersama West Ham untuk musim 2006-2007.
Justeru, dia sedar sumbangan yang mampu diberikan oleh penyerang itu untuk membantu Liverpool membenam United musim depan.
"Ia sesuatu yang hebat jika Carlos dapat beraksi bersama saya di sini, saya tahu betapa bagusnya dia. Tetapi saya tidak tahu apakah situasi sebenar yang sedang berlaku. Satu-satunya perkara yang saya tahu, dia adalah pemain dan individu yang hebat,'' kata Mascherano.
Mascherano berpeluang untuk memujuk Tevez berpindah ke Liverpool apabila kedua-dua mereka bertemu bulan depan apabila mewakili Argentina dalam kelayakan Piala Dunia menentang Columbia dan Ecuador. - AFP
No comments:
Post a Comment