BIRMINGHAM - Menjelang pertemuan menentang West Bromwich malam ini, pengurus Liverpool, Rafael Benitez percaya skuad kendaliannya telah melakukan yang terbaik sepanjang musim ini.
Walau apa juga keputusan pada baki perlawanan musim ini, Liverpool telah mencatat jumlah pungutan mata paling tinggi yang berjaya diperoleh mereka dalam kempen Liga Perdana England.
Sebelum ini, jumlah terbaik Liverpool adalah 82 mata yang dicatat pada musim 2006, iaitu pada musim kedua The Reds di bawah kendalian Benitez.
Namun, dengan baki dua lagi perlawanan musim ini, Liverpool telah mengumpul 80 mata dan lebih menarik, mereka hanya tewas dua kali sepanjang musim ini.
"Bagi kami, 80 mata adalah cukup baik kerana jumlah 82 mata adalah yang paling baik kami pungut dalam Liga Perdana England.
"Sudah memadai untuk menyamai jumlah 82 mata itu tetapi adalah lebih baik kami dapat mengumpul maksimum 86 mata selepas berakhir musim ini," kata Benitez.
Bertemu West Brom di tempat lawan malam ini, Liverpool bakal diperkuat dengan kehadiran semula Xabi Alonso yang sebelum ini mengalami kecederaan buku lali.
Alonso sendiri mengakui bahawa keputusan tujuh kali seri yang dicatatkan Liverpool di gelanggang sendiri menjadi punca mereka terlepas peluang untuk menguasai liga musim ini.
"Memang sesuatu yang bagus jika kami melakukan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Tapi jika kami tak muncul sebagai juara, kami tak boleh anggap ia sebagai musim terbaik.
"Kami patutnya kecewa dengan diri kami sendiri. Sangat perit untuk melihat dan memikirkan semula tentang tujuh keputusan seri yang kami catatkan itu berserta dua kekalahan tersebut," ujar Alonso. - AFP
No comments:
Post a Comment