LONDON - Ketua pasukan Liverpool, Steven Gerrard (gambar) masih yakin pasukannya mampu memenangi Liga Perdana England musim ini menjelang pertembungan dengan West Ham dengan harapan untuk merapatkan perbezaan tiga mata dengan pendahulu Manchester United awal pagi esok
Jika menang ia akan membawa pasukan Rafael Benitez di tangga teratas liga berdasarkan perbezaan jaringan gol, untuk sekurang-kurangnya sebelum United berdepan Manchester City dalam perlawanan derby di Old Trafford malam esok.
''Kami terlalu hampir untuk melakukannya musim ini. Secara jujur saya yakin pasukan ini mampu melakukannya.
''Jika saya berkata saya tidak fikir kami akan menang, apa gunanya kami meneruskan saingan?'' kata Gerrard.
Dengan United masih kurang satu perlawanan, yang mana mereka akan beraksi di Wigan Rabu ini, pasukan Sir Alex Ferguson berada pada kedudukan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan.
Namun, walaupun Gerrard menerima hakikat bahawa pasukannya adalah pilihan kedua untuk menjulang kejuaraan pertama dalam tempoh 19 tahun, pemain tengah England itu yakin Liverpool akan menamatkan kejuaraan dalam tempoh terdekat.
''Jika kami kalah dan United pula semakin menghampiri kejuaraan, barulah kami memikirkannya (kejuaraan) untuk tempoh tiga, empat atau lima tahun lagi.
''Saya yakin pasukan ini terlalu bagus untuk terlepas kejuaraan. Menang kejuaraan liga amat bermakna bagi saya,'' kata Gerrard.
Liverpool mungkin mampu melakukannya tanpa tonggak berpengaruh, Xabi Alonso apabila beraksi di padang lawan di timur London selepas cedera ketika menang 3-0 ke atas Newcastle minggu lalu.
Namun, seperti mana ketiadaan Alonso, ia dihangatkan lagi dengan berita kecederaan Javier Mascherano (pergelangan kaki) dan penyerang Sepanyol, Fernando Torres (otot).
''Xabi masih diragui untuk beraksi. Saya berharap dia akan bertambah sihat. Memang dia kini semakin pulih namun kami terpaksa menunggu lagi. Kami terpaksa membuat pemeriksaan lanjut kerana kecederaannya lebih teruk berbanding kecederaan yang dialami Mascherano,'' kata Benitez.
Sementara itu, West Ham memulakan perlawanan hujung minggu pada kedudukan ketujuh liga dan mengintai tempat untuk layak ke kejohanan Eropah, namun hanya satu mata mengatasi Manchester City, Fulham dan Tottenham. - AFP
No comments:
Post a Comment