LONDON - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez berikrar tidak akan meninggalkan Anfield tatkala skuad The Reds itu mengalami krisis kewangan ketika ini.
Malah Benitez berkata, dia sudah bersedia untuk memulakan pembelian pemain tetapi pada kadar yang murah.
Sebelum ini, Benitez merancang untuk membawa masuk nama-nama besar ke Anfield.
Bagaimanapun, dia terpaksa membatalkan senarai awalnya untuk memancing beberapa nama besar seperti Gareth Barry, David Villa dan Carlos Tevez.
Barry sudah pun dibeli Manchester City manakala Tevez dan Villa semakin melepasi nilai harga yang mampu ditawarkan Liverpool.
Justeru Benitez kini cuba untuk memikat pemain Middlesbrough, Tuncay Sanli dan pertahanan Portsmouth, Sylvain Distin sebagai ganti.
"Kami sedar ia pasti sukar kerana krisis kewangan ini turut melanda seluruh dunia dan jelas sekali kami tidak mempunyai banyak dana untuk dibelanjakan.
"Tapi saya masih berasakan kami mempunyai wang yang cukup untuk menambah seorang atau dua pemain baru yang kami perlukan.
"Musim ini kami beraksi baik dan mampu bersaing di peringkat tertinggi. Jika kami dapat mengambil seorang atau dua pemain baru, saya rasa kami boleh lebih meningkat," kata Benitez.
Ironinya, kenyataan Benitez itu hadir pada hari yang sama Liverpool perlu membayar hampir £2 juta (RM11.4 juta) untuk pembiayaan perjalanan, perundangan dan perbelanjaan peribadi untuk kedua-dua pemiliknya, Tom Hicks dan George Gillett.
Ia ditambah dengan berita tentang Kop Football (Holdings) Ltd., anak syarikat kelab tersebut yang diuruskan dua warga Amerika Syarikat itu yang mengalami kerugian £42.6 juta (RM244.6 juta) tahun lalu. - Agensi
USA memang kuat menjahanam he he tgk bola [pon tak pernah aduhhh
ReplyDelete