LONDON - Pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano membuatkan pengurusnya, Rafael Benitez tergamam seketika.
Ini kerana, Mascherano menyatakan dia mahu meninggalkan Anfield untuk menyertai Barcelona musim depan.
Barcelona dilaporkan telah menghubungi ejen kepada pemain Argentina itu dan bersedia melakukan bidaan sebanyak £20 juta (RM114.3 juta) bagi mendapatkannya.
Ejen Mascherano, Walter Tamer mengesahkan bahawa dia telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Teknikal Barcelona, Txiki Beguiristain.
Tamer turut mengakui Mascherano benar-benar mahu menyertai kelab gergasi Sepanyol itu.
"Jika kelab seperti Barcelona mahukan kami selepas mereka telah menang segala-galanya, maka sudah jelas pemain terbabit mahu beraksi di sana.
"Ia akan membuatkan Mascherano berasa bangga untuk beraksi dengan mereka selepas pasukan itu mengharungi musim menakjubkan.
"Saya yakin perpindahan ini dapat diselesaikan. Saya telah bercakap dengan Beguiristain tentang perkara ini biarpun kami dah lama tak berhubung sebenarnya," kata Tamer.
Peluang beraksi sebaris dengan pemain tengah terbaik dunia seperti Andres Iniesta dan Xavi Hernandez pula pastinya tidak mahu dilepaskan Mascherano.
Berita tersebut pastinya satu lagi tamparan hebat kepada Benitez yang kini bimbang bakal kehilangan pemain tengahnya, Xabi Alonso yang diburu Real Madrid. - Agensi
No comments:
Post a Comment