LIVERPOOL - Steven Gerrard memberi amaran kepada Manchester United bahawa Liverpool akan mengambil kesempatan daripada kesilapan pasukan bimbingan Alex Ferguson selepas ini untuk menjadi juara.
Liverpool berjaya mengurangkan jarak satu mata daripada United, yang masih mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan, selepas membelasah Aston Villa 5-0 di Anfield, kelmarin.
Selepas pasukan Rafael Benitez menang 4-1 di Old Trafford minggu lepas, United tewas 0-2 di Fulham Sabtu lalu, Liverpool beraksi dengan begitu tenang dan mereka semakin menghampiri pasukan bimbingan Ferguson yang menghuni takhta liga.
Liverpool sekarang ini hanya tinggal lapan perlawanan tetapi Gerrard berjanji kepada United bahawa The Reds hanya menunggu peluang untuk mengambil alih perlumbaan mengejar kejuaraan liga.
"Ia sangat penting supaya kami tidak terlepas peluang begitu sahaja kerana Manchester United berpeluang untuk memenangi semua baki perlawanan liga.
"Kami perlu fokus apa yang kami lakukan, terus menang dan sentiasa merapati mereka sambil memberi tekanan jadi mereka akan turun beraksi sedar bahawa kita akan mengambil kesempatan di atas kesilapan yang dilakukan mereka.
"Apabila anda menang, ia sangat bagus untuk menang dengan keyakinan dan semua orang tahu kami berada pada puncak prestasi serta mempunyai keyakinan tinggi tetapi kami akan menghadapi segala perlawanan seperti biasa," kata Gerrard.
Benitez telah memberitahu pemainnya mereka perlu melayan setiap baki perlawanan liga seperti beraksi dalam perlawanan akhir merebut piala, jika mereka mahu mengejar United.
Bagaimanapun, jurulatih dari Sepanyol itu mengakui kunci utama untuk berada di tangga teratas ialah tidak memikirkan tentang keputusan United.
"Kami perlu melakukan tugas kami dan menunggu United melakukan kesilapan. Sekarang kami begitu hampir dengan mereka tetapi mereka masih di posisi yang lebih baik, kami perlu terus berjuang dan memberi tekanan kepada mereka.
"Kami semakin hampir. Mereka akan lihat kami bekerja keras untuk menang setiap perlawanan jadi mesej saya ialah setiap perlawanan sangat penting dan ia seperti perlawanan akhir merebut piala bagi kami," katanya.
Walaupun pada awalnya berdepan dengan masalah jaringan musim ini, The Reds telah menjaringkan 13 gol dalam tiga perlawanan iaitu menentang Real Madrid, United dan Villa.
Benitez percaya keyakinan sedang menular kepada pasukannya tatkala saingan liga sudah sampai di kemuncaknya.
"Ketika bertemu Real Madrid kami menjaringkan gol terlebih dahulu dan kami melakukannya sekali lagi menentang Aston Villa. Kami berharap ini adalah kuncinya kerana pasukan lain perlu menghadapinya dan bermain dengan lebih terbuka.
"Apabila anda bermain baik, pemain bermain dengan yakin. Tanpa menukar sebarang pemain dalam tempoh seminggu, Fernando Torres, Steven Gerrard dan Fabio Aurelio sentiasa cergas, ia mudah bagi mereka untuk bermain satu perlawanan dalam seminggu.
"Kami boleh mengekalkan momentum ini tetapi selepas ini mereka berehat untuk aksi antarabangsa. Selepas itu, kami berharap dapat bermain dengan mentaliti yang sama dan terus beraksi cemerlang.
Aston Villa gagal menang dalam lapan perlawanan pada semua kejohanan dan selepas bermula dengan cemerlang musim ini, impian mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah semakin malap.
Mereka kekal dengan ketinggalan tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Arsenal dan pengurus mereka, Martin O'Neill mengakui ia semakin sukar buat mereka untuk kembali berada antara empat pasukan teratas liga.
"Memenangi perlawanan bola sepak dalam Liga Perdana England adalah begitu sukar dan kami menghadapinya dengan cemerlang sehinggalah empat atau lima minggu lalu apabila prestasi kami semakin menurun.
"Kami masih belum terkeluar dari saingan tetapi semua orang akan berkata pada masa ini bahawa empat pasukan teratas adalah pasukan yang terkuat dan kami mudah ditewaskan tetapi kami beraksi lebih baik sebelum ini berbanding menentang Liverpool kelmarin.
"Kami sememangnya tidak sekuat seperti empat pasukan tersebut. Mereka sudah berada di antara pasukan terkuat, mereka sudah tahu bagaimana untuk menghadapinya.
"Ini bukanlah secara kebetulan mereka melakukannya tetapi menghadapinya lagi dan pujian harus diberikan kepada mereka," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment