LONDON - Memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan bukan jaminan buat Liverpool apabila mereka mempertaruhkan maruah pasukan sewaktu berdepan Real Madrid pada perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara Juara Eropah di Anfield, hari ini.
Minggu yang pasti mendebarkan penyokong Liverpool kerana mereka kini hanya mengharapkan kejuaraan Eropah untuk sekurang-kurangnya meraih satu piala musim ini.
Selepas ketinggalan jauh dalam kancah Liga Perdana England serta tersingkir awal daripada Piala Liga dan Piala FA, hanya kemenangan atau seri boleh membawa Liverpool ke peringkat seterusnya atau terpaksa pulang dengan tangan kosong lagi.
Kejayaan menyingkirkan Real bermakna Liverpool hanya baru mara ke suku akhir Liga Juara Juara Eropah dan belum pasti sama ada impian mereka untuk merangkul satu piala sudah tercapai.Namun, jika kalah dan tersingkir, tiada apa lagi yang boleh dikejar Liverpool musim ini selain sekadar melengkapkan jadual perlawanan liga perdana sehingga penghujung musim.Malah, tidak keterlaluan kemungkinan keputusan hari ini turut mempertaruhkan jawatan Rafael Benitez sebagai pengurus sama ada kekal atau sebaliknya.
"Biar pun memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan, perlawanan kedua menentang Real ini tetap penting kerana kami masih perlu menang.
"Ia lebih mudah dengan cara tersebut selain memikirkan keputusan selain daripada itu (seri)," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu.
Liverpool bakal menghadapi satu lagi ujian getir selepas menentang Real hari ini kerana dijadual bertemu Manchester United pula pada Sabtu ini.
"Jelas sekali, Real Madrid tetap pasukan yang hebat. Walaupun kami menang 1-0 di Bernabeu, kami perlu menyempurnakannya di Anfield," tegasnya.
Prestasi tidak konsisten Liverpool ketika beraksi di tempat sendiri pula pastinya akan digunakan sepenuhnya Real untuk bangkit daripada ketinggalan.Dengan Steven Gerrard belum mencapai tahap sebenar sekembali daripada kecederaan serta kecergasan Fernando Torres yang masih meragukan, Benitez pastinya bergantung penuh kepada Javier Mascherano, Yossi Benayoun dan Dirk Kuyt untuk menang.
Namun, bagi Real, itu semua tidak penting sebaliknya keputusan perlawanan menjadi penentu kemaraan pasukannya.
"Ia ibarat perlawanan akhir (di Anfield). Pasti sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi," kata jurulatih Real, Juande Ramos sebelum ini.
Real bakal bergantung harap kepada gandingan Pepe dan Fabio Cannavaro agar gawang mereka tidak dibolosi lagi.
"Kami perlu segera bangkit dan tidak boleh gagal menewaskan Liverpool," kata Cannavaro, ketua pasukan Itali yang menjuarai Piala Dunia 2006 lalu.
No comments:
Post a Comment