WATFORD, England – Bintang tengah England, Steven Gerrard meminta jurulatih kebangsaan, Fabio Capello supaya memberinya lebih kebebasan untuk mengulangi prestasi cemerlang ketika membantu Liverpool mencatat tiga kemenangan besar dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana England.
Gerrard memainkan peranan dinamik ketika membantu kebangkitan skuad Reds, yang kini hanya dipisahkan dengan satu mata di belakang pendahulu, Manchester United dalam saingan Liga Perdana.
Malah, dia turut memainkan peranan penting ketika membantu Liverpool memalukan gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara Eropah.
Kapten Liverpool itu melakukan hatrik ketika membantu pasukannya membelasah Aston Villa 5-0, Ahad lalu, kurang seminggu selepas membantu Reds menundukkan United 4-1 di Old Trafford.
Walaupun posisi sebenarnya adalah pemain tengah, namun Gerrard diberikan peranan lebih bebas oleh jurulatih Liverpool, Rafael Benitez apabila memegang watak penyerang di belakang Fernando Torres.
Gembira dengan peranan barunya yang tampak menjadi, Gerrard berharap Capello juga sedia memberi ruang kepadanya apabila menentang Slovakia dalam aksi persahabatan di Wembely, Sabtu ini.
“Saya tidak pernah rasa gembira seperti sekarang sepanjang karier saya. Peranan yang diberikan oleh Rafael amat menggembirakan. Ada dua pemain tengah yang berada di belakang saya dan melakukan kerja yang hebat dengan berlari untuk saya, ia memberi saya lebih kebebasan untuk bergerak.
“Apabila anda dapat mengeluarkan yang terbaik daripada permainan anda seperti melarikan diri daripada pemain pertahanan lawan, maka ia juga menghadirkan serangan yang berbahaya.
“Rafael membantu saya memperbaiki posisi. Saya benar-benar gembira dengan kebebasan yang diberikan olehnya, saya rasa ini adalah peranan terbaik yang pernah saya diterima sejak dia hadir ke Liverpool.
“Kalau saya dipilih untuk beraksi buat England ia memang amat menggembirakan tetapi sudah tentu saya lebih gembira jika diberi peranan yang mampu membantu saya memberikan permainan terbaik,’’ kata Gerrard.
Bagaimanapun Gerrard mengakui, semuanya terpulang kepada pengurus untuk membuat keputusan, dan sebagai pemain, dia hanya akan bermain seperti yang diarahkan.
Gerrard percaya dia mampu menjadi tonggak berpengaruh England di bahagian tengah, namun dia belum dapat berkongsi keupayaan sebenarnya bersama Capello kerana lebih banyak diberikan peranan di sayap kiri ketika menentang Kazakhstan dan Belarus, awal tahun ini.
Jurulatih dari Itali itu sebaliknya menggunakan Emile Heskey untuk bergandingan dengan Wayne Rooney di bahagian serangan.
– AFP
No comments:
Post a Comment