Kapten Liverpool, Steven Gerrard berharap kemenangan bergaya 4-1 pasukannya ke atas Manchester United memberi suntikan juang kepada kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) lain menghalang pendahulu liga itu.
Liverpool yang kini dibezakan empat mata dengan United masih perlu mengharapkan bantuan kelab-kelab lain mengekang pasukan Sir Alex Ferguson itu daripada mengutip tiga mata penuh dari setiap baki perlawanan musim ini.
United masih mempunyai baki satu perlawanan berbanding pasukan pimpinan Rafael Benitez itu manakala Chelsea turut berpeluang merapatkan jurang kepada empat mata dengan pendahulu liga.
“Kami perlu mengharapkan tuah dalam memburu kejuaraan musim ini. Kami harap kemenangan ini akan memberi keyakinan kepada pasukan lain yang akan bertemu United, bahawa mereka (United) boleh ditewaskan.
“Apa yang penting ialah kami telah merapatkan jurang. Kami sedar United sebuah pasukan hebat dan masih banyak lagi perlu kami lakukan,” kata Gerrard yang menjaringkan gol kedua Liverpool serta menjadi punca pertahanan kental United, Nemanja Vidic dibuang padang.
Sementara itu, Ferguson merasakan United tidak perlu panik dengan kekalahan di Old Trafford itu memandangkan jurang mata dengan Liverpool masih dianggap selesa.
“Kami akur dengan kekalahan ini dan tidak akan berdiam diri. Kami perlu bertindak balas dan itu sahaja apa yang perlu kami lakukan.
“Jika liga baru bermula sekarang, saya gembira dengan empat mata yang kami ada sekarang,” kata Ferguson.
No comments:
Post a Comment