GENEVA: Uefa berjanji akan melakukan apa saja untuk membolehkan Liverpool tidak beraksi pada suku akhir Liga Juara-Juara ketika ulang tahun ke-20 tragedi Hillsborough.
“Kami sedar kepentingan tarikh 15 April kepada Liverpool FC dan penyokong mereka dan itulah sebabnya kami mahu melakukan apa yang terbaik untuk mengelakkan kelab itu daripada beraksi perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara pada tarikh itu nanti,” kata Presiden Uefa, Michel Platini.
“Saya sudah beberapa kali berhubung dengan Liverpool FC mengenai perkara ini dan saya bersimpati dengan kelab itu serta keperluan untuk menghormati tarikh berkenaan buat mereka yang kehilangan nyawanya di Hillsborough,” kata Platini. “Ini adalah ulang tahun ke-20 tragedi itu dan itu adalah antara fakta penting yang perlu kita lihat.”
Kapten Liverpool, Steven Gerrard merayu kepada Uefa untuk mengubah tarikh pertemuan suku akhir kedua membabitkan kelab itu yang dijadualkan berlangsung pada hari Rabu, 15 April nanti.
Gerrard yang turut kehilangan seorang sepupunya dalam tragedi Hillsborough itu, memberitahu laman web rasmi kelab: “Kami berharap Uefa dapat menggunakan budi bicara. Hillsborough akan sentiasa saya ingat kerana saya kehilangan salah seorang keluarga dalam tragedi itu dan apa saja kejayaan yang kami peroleh tahun ini akan dihadiahkan kepada semua yang terkorban dalam tragedi itu.”
Tarikh itu menandakan genap 20 tahun sejak 96 penyokong Liverpool terkorban di Stadium Hillsborough di Sheffield ketika saingan separuh akhir Piala FA menentang Nottingham Forest. - AFP
No comments:
Post a Comment