MIDDLESBROUGH - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez mengakui peluang pasukannya untuk menjuarai Liga Perdana England semakin pudar apabila mereka tewas mengejut 2-0 di tangan Middlesbrough.
Benitez mengatakan kejuaraan itu sekarang ini milik Manchester United selepas tewas perlawanan kelmarin di Stadium Riverside.
Jaringan sendiri Xabi Alonso ditambah dengan gol kedua oleh Tuncay Sanli pada separuh masa kedua menamatkan rekod Liverpool yang menang 15 perlawanan berturut-turut seterusnya meninggalkan mereka tujuh mata di belakang pendahulu liga, United.
Liverpool juga beraksi lebih perlawanan berbanding United dan akan ke Old Trafford bulan ini dalam misi mesti menang bagi menghidupkan kembali peluang mereka yang terlalu tipis.
Jika tidak menang dalam perlawanan itu sukar bagi mereka untuk menyekat musuh tradisi menjulang mahkota liga.
"Ia sekarang ini terpulang kepada Manchester United. Adakah mereka akan melakukan kesilapan? Mungkin, saya tidak tahu. Peluang sekarang berada di tangan mereka.
"Kami harus memastikan kami dapat mengalahkan Sunderland dalam perlawanan seterusnya. Sebelum perlawanan ini untuk memenangi kejuaraan liga sangat sukar, sekarang ia bertambah lagi sukar," katanya.
Selepas dilihat hampir menyelesaikan masalah dalaman mereka apabila Rick Parry, Ketua Eksekutif yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Benitez akan meninggalkan kelab sebaik tamat musim ini, Liverpool dilihat bakal berterusan apabila mereka menunggu hampir 20 tahun untuk menjuarai liga.
Benitez menolak untuk menyalahkan spekulasi mengenai masa depan jangka panjang sebagai punca kekalahan tersebut.
"Penasihat saya masih lagi berbincang dengan penasihat kelab.
"Mungkin mereka akan mengadakan perbincangan dan kita akan lihat bagaimana ia berjalan," katanya.
Jurulatih dari Sepanyol itu tidak akan menggunakan kemenangan 1-0 ke atas Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu lalu sebagai alasan penurunan prestasi pasukannya terutamanya beraksi buruk pada separuh masa kedua.
"Kami menghadapi masalah dengan kecederaan pemain dan ada pemain yang berada dalam keletihan tetapi kami harus memenangi perlawanan tersebut apabila kami mengawal permainan pada 30 minit awal tetapi amat mengecewakan apabila kami tewas.
"Ia permainan yang mengecewakan buat kami kerana kami menghasilkan lima peluang pada separuh masa pertama tetapi tidak berjaya menyempurnakannya.
"Jika anda mahu menang, anda perlu menjaringkan gol. Bagi berada di tangga teratas liga anda perlu menjaringkan gol, jika tidak anda akan berada dalam keadaan yang teruk," katanya.
Liverpool sekarang tidak pernah mencatatkan kemenangan selama tujuh tahun di Stadium Riverside, gelanggang yang menyaksikan mereka gagal menjaringkan gol dalam enam dari tujuh perlawanan sebelum ini apabila peluang mereka digagalkan oleh penjaga gol dari Australia, Brad Jones.
Alonso tertampan masuk jaringan sendiri hasil dari sepakan sudut Stewart Downing untuk menamatkan kemarau gol Middlesbrough selama sembilan jam dalam saingan liga, sebelum jaringan Tuncay memastikan kemenangan liga yang pertama dari 15 perlawanan yang menyaksikan mereka berada di tangga ketiga dari bawah.
Pengurus Middlesbrough, Gareth Southgate menyokong bahawa United akan memenangi kejuaraan liga.
"United sering memenangi perlawanan sejak kebelakangan ini ia sukar untuk sesiapa mengejar mereka. Semua pasukan di tangga teratas dilihat sukar untuk mengejar United," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment