LIVERPOOL - Selepas mencatat dua keputusan cemerlang minggu lalu, Liverpool terdesak untuk mengelak daripada dikejutkan pula oleh Aston Villa yang akan berkunjung ke Anfield, hari ini.
Skuad bimbingan Rafael Benitez itu sedar mereka perlu memenangi hampir semua baki sembilan perlawanan Liga Perdana England jika mahu terus mencabar pendahulu, Manchester United.
Dan, mereka akan menerima kunjungan Villa bersama reputasi tinggi selepas membelasah gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid 4-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah, diikuti kemenangan 4-1 ke atas United di Old Trafford.
Kebimbangan Benitez turut ditambah dengan faktor bahawa pasukannya telah beberapa kali dikecewakan oleh kelab sederhana di gelanggang sendiri, musim ini.
Mereka mungkin masih memegang rekod tanpa kalah di Anfield tetapi dipaksa seri enam daripada 14 perlawanan di tempat sendiri.
Keseluruhannya, pasukan The Reds telah melepaskan 12 mata di Anfield.
"Minggu ini sangat baik buat kami. Berjaya mengalahkan United dengan empat gol adalah kejayaan besar tetapi kami tidak layak bercakap apa-apa kalau tidak kalahkan Aston Villa.
"Sekiranya kami mahu kekal sebagai pencabar kejuaraan, mungkin benar ia turut bergantung kepada keputusan United tetapi kami juga kena mula memenangi perlawanan dari sekarang, dan ia kena bermula dengan tiga mata daripada pertemuan menentang Villa.
"Semua pemain tahu kami kena menang semua perlawanan untuk merapatkan diri dengan United, kami boleh terus bercakap tentang kemenangan ke atas Unietd tetapi ia tidak berguna kalau kami tidak menang perlawanan lain,'' kata Benitez.
Walaupun Liverpool dilihat amat terdesak untuk mencari kemenangan bagi meneruskan pemburuan gelaran liga, namun Villa juga amat tertekan selepas tersingkir ke tangga kelima, minggu lalu.
Selepas menghabiskan sebahagian besar musim dengan menghuni tangga keempat - kedudukan yang memberi tiket ke Liga Juara-Juara musim depan, buat kali pertamanya Villa melepaskan kedudukan kepada Arsenal selepas kalah 2-1 di tangan Tottenham, minggu lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment