LIVERPOOL, England - Pengurus Liverpool, Rafa Benitez menyangkal pasukannya semakin merosot untuk menyaingi gelaran bola sepak Liga Perdana England dengan menegaskan bahawa menduduki tempat kedua masih satu pencapaian yang baik.
Liverpool akan berdepan Sunderland di Anfield, dengan harapan mereka untuk memenangi kejuaraan buat kali pertama sejak 1990 apabila kalah 2-0 di Middlesbrough, Sabtu lalu.
Pernah menerajui kedudukan ketika memasuki 2009, pasukan Benitez kini di belakang pendahulu dan pilihan utama, Manchester United dengan tujuh mata selepas mengumpul cuma dua mata daripada tujuh perlawanan lalu.
Mereka turut bermain satu perlawanan melebihi skuad juara bertahan bimbingan Sir Alex Ferguson dan pernah berada di tangga ketiga.
Namun Benitez hanya menebalkan muka pada kegagalan persaingan tempatan Liverpool dan mendakwa bahawa menduduki tempat kedua tidak akan menjadi satu malapetaka malah menandakan kelab itu maju di bawah pimpinannya selepas hanya di tempat keempat musim lalu.
"Tempat kedua masih satu pencapaian, tetapi kami perlu memikirkan mengenai mendapat tiga mata ke atas Sunderland untuk kedudukan kami kerana ia turut bergantung kepada United, Chelsea, Arsenal dan Aston Villa. Kami hanya perlu meneruskan tugas kami. Kami hanya cuba terus memperbaiki. Kami boleh cakap mengenai kedudukan tetapi akhirnya, kami hanya perlu menang perlawanan berikutnya.
"Biasanya kami fikir kami mampu menang ke atas Middlesbrough tetapi ia satu hari malang kami," katanya.
Biarpun sudah sebelah kaki pada suku akhir Liga Juara-Juara selepas memiliki kelebihan satu gol perlawanan pertama di Sepanyol ke atas Real Madrid, prestasi liga Liverpool yang tidak menentu mencetuskan keraguan sama ada mereka mampu menduduki dua tempat teratas.
Perlawanan esok merupakan yang terakhir di liga sebelum melayani Real Madrid dalam perlawanan kedua di Anfield pada 10 Mac. Perlawanan liga mereka selepas Sunderland ialah bertandang ke Manchester United pada 14 Mac.
"Sebelum perlawanan Middlesbrough, ia sukar dan kini ia bakal lebih sukar (memenangi gelaran). Kami perlu memikirkan mengenai Sunderland dan menanti untuk melihat sama ada United melakukan kesilapan atau tidak.
"Pemain amat kecewa pada akhirnya. Jelas, Liga Juara-Juara merupakan pilihan terbaik yang kami ada sekarang. Sebelum kami menentang Real semula, kami ada Sunderland dan kami mesti bersedia bagi perlawanan itu," tambah Benitez.
Ketua pasukan, Steven Gerrard dijangka mula bermain biarpun keluar dengan kekejangan menentang Middlesbrough manakala Nabil El Zhar boleh diberikan peluang lain untuk menyerlah jika Fernando Torres gagal pulih daripada kecederaan urat pelipat lutut yang memaksanya terlepas menentang Middlesbrough.
"Torres masih disangsikan bagi perlawanan (hari ini) tetapi kita akan tengok. Ia bergantung kepada doktor lagi dan apa yang mereka. El Zhar bagus. Dalam babak pertama, dia menjadi satu ancaman dan mempunyai beberapa peluang. Dia memiliki satu peluang dalam babak kedua dan saya memutuskan untuk membuat beberapa perubahan kerana kami perlukan pemain dengan lebih pengalaman, tetapi bukan kerana dia bermain dengan teruk," tambahnya lagi.
Sunderland berada di pertengahan liga tetapi tiba di Anfield dengan keyakinan amat tinggi selepas deretan tanpa kalah sepanjang empat perlawanan.
Pasukan Ricky Sbragia itu mengecewakan Arsenal dalam pertemuan terakhir mereka, mengekang pasukan Arsene Wenger dengan seri tanpa jaringan pada 21 Februari.
"Kami perlu mencapai tahap terbaik permainan kami jika kami mahu mendapat apa-apa di Liverpool." kata Sbragia.
"Kami telah menikmati satu pencapaian yang bagus kebelakangan ini dan saya amat gembira dengan bagaimana prestasi kami menentang Arsenal.
"Namun kami perlu menguasai bola sejak awal menentang Liverpool. Mereka tidak kalah di tempat sendiri dan merupakan sebuah pasukan yang amat bagus," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment