Juande Ramos menggesa anak buahnya melupakan kekalahan ke atas Liverpool pada perlawanan pertama Liga Juara-juara Eropah (CL) menjelang kunjungan ke Anfield awal pagi esok. Persediaan Real Madrid untuk mengatasi kekurangan satu gol di Bernabeu agak tidak menggembirakan apabila sekadar terikat seri 1-1 dengan Atletico Madrid pada saingan La Liga Sabtu lalu.
Jadual padat Real di pentas Sepanyol memberi kelebihan kepada Liverpool di gelanggang sendiri kerana tidak terlibat dengan perlawanan Piala FA hujung minggu lalu.
The Reds mempunyai masa rehat dan latihan secukupnya menjelang perlawanan getir kedua itu kelak. Namun Ramos yakin semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya akan mengembalikan harapan mereka untuk melangkah ke suku akhir.
“Semua pemain kelihatan bersemangat. Kami akan menganggap perlawanan ini seperti aksi final.
“Kami mahu menebus kekecewaan pada perlawanan pertama dan berusaha sedaya upaya untuk mencatat keputusan terbaik dan menggembirakan penyokong Los Blancos.
“Kemungkinan dan peluang terbuka luas. Kami mempunyai sedikit kelemahan kerana berehat selama tiga hari berbanding Liverpool yang berehat panjang. Namun apa sahaja boleh berlaku,” kata Ramos.
Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu mengakui bertanggungjawab terhadap keputusan seri 1-1 dengan Atletico dan menerima segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya. Ramos menegaskan kadang kala anda perlu membuat pilihan terbaik sama seperti keputusan untuk menggantikan Pepe dengan Sergio Ramos berbanding Metzelder dan meletakkan Lassana Diara di bek kanan ketika berdepan Atletico minggu lalu.
No comments:
Post a Comment