Reds, rapat barisan!
(dicedok dari Sinar Harian)
Tonggak pertahanan Liverpool, Jamie Carragher menegaskan The Reds akan bangkit membuktikan kemampuan dan kualiti sebenar mereka menjelang pertemuan Liga Juara-Juara Eropah menentang Lyon esok selepas tewas kepada Sunderland pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.
Darrent Bent menjaringkan gol tunggal kontroversi pada minit kelima selepas rembatannya terkena bola pantai yang dilemparkan penyokong
“Ia amat mengecewakan bagi kami tetapi Chelsea juga tewas. Kempen musim ini masih panjang. Kini bukan masa sesuai untuk bercakap mengenai gelaran juara. Kami sedang bersiap untuk aksi seterusnya.
“Kami akan berdepan Lyon di Anfield untuk mengembalikan semula semangat sebelum bertemu Manchester United, Ahad ini. Kami perlu bekerjasama sebagai satu pasukan ketika sesi latihan.
“Kami dibarisi pemain hebat dan dikemudi pengurus terbaik. Kami ada kualiti dan kepercayaan untuk bangkit mencipta kemenangan dalam tempoh terdekat. Saya berharap pertemuan dengan Lyon akan mengubah segalanya,” kata Carragher.
Carragher bagaimanapun enggan menyalahkan ketiadaan pemain utama, Steven Gerrard dan Fernando Torres sebagai punca kekalahan kepada Sunderland. Sebaliknya, dia mendakwa pasukannya mempunyai kualiti untuk menangani masalah kecederaan.
“Tidak dinafikan Gerrard dan Torres adalah pemain berkelas dunia namun kami memiliki skuad besar. Kami pernah memenangi perlawanan tanpa kelibat mereka sebelum ini.
“Sunderland bermain dengan baik. Kami tidak berada pada tahap memuaskan tetapi kami akan bangkit mengembalikan semula keyakinan pasukan,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment