
Pemain sayap Liverpool, Albert Riera percaya tekanan kian memuncak ke atas Manchester United kerana kemenangan tempoh hari kelab Anfield itu mengubah apa yang sebelum ini kelihatan seperti penguasaan lawan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada perebutan gelaran sebenar.
"Selepas menewaskan United 4-1, minggu lalu kami menunjukkan kepada mereka bahawa kami masih berjuang dan akan terus berjuang sehingga ke akhir. "Kini selepas menang ke atas Villa dan United tewas (di Fulham), saya berpendapat mereka akan berasa kami makin dekat dengan mereka.
"Terdapat banyak perlawanan lagi dalam EPL dan Liga Juara-juara serta banyak tekanan. Saya percaya mereka sudah merasainya," katanya, kelmarin. Riera menjaringkan gol kelima musim ini ketika membantu pasukan membelasah Aston Villa 5-0, Ahad lalu sambil kekalahan mengejut United kepada Fulham membolehkan barisan Merseyside itu merapatkan jurang kepada satu mata dengan pendahulu dan juara bertahan itu.
Kemenangan Liverpool di Old Trafford menghidupkan kembali peluang mereka dan Riera berkata, pasukan Sir Alex Ferguson yang mensasarkan lima kejuaraan di satu musim tampak menyedari mereka harus berjuang untuk mempertahankan gelaran liga.
Mengulas mengenai perlawanan dengan Villa, Reira berkata: "Ia adalah persembahan hebat daripada semua pemain dan yang paling penting ialah kami harus menang, dan kami melakukannya, " katanya lagi. Aksi Riera ketika berdepan Villa turut mendapat pujian daripada pengurus Liverpool, Rafael Benitez yang berkata pemain itu kini mula menunjukkan aksi lebih konsisten untuk beraksi di EPL walaupun kurang konsisten pada mulanya. - AFP
No comments:
Post a Comment