FERNANDO Torres kini bahagia di Merseyside, menegaskan bahawa golongan kelas pekerja yang melatari kehidupan di Liverpool menjadi antara punca dia terasa bagaikan berada di rumah sendiri.
"Penduduk di sini sungguh baik dan bersopan santun, mereka begitu menghormati pemain biarpun berada di luar padang," katanya kepada The Liverpool Echo.
"Itulah perkara yang penting bagi saya. Di Sepanyol, sukar bagi saya untuk ke restoran atau berjalan bersama rakan di jalanan.
"Kini saya boleh melakukan semua itu dan pergi ke taman, membawa anjing saya bersiar-siar dan keluar makan malam. Ia bandar yang dipenuhi golongan kelas pekerja dan saya sukakannya kerana saya dilahirkan dalam kelas golongan pekerja di Sepanyol.
"Mereka bekerja sepanjang minggu dan mereka ke padang setiap minggu untuk menyaksikan pasukan mereka. Pada hari Isnin, mereka bekerja bersungguh-sungguh dan kembali menyaksikan pasukan pada hujung minggu.
"Melihat nama saya terpampang pada kemeja mereka adalah sesuatu yang cukup istimewa. Saya faham jika mereka menyarung kemeja dengan nama Stevie G atau Carra kerana mereka dari Liverpool, tapi memakai jersi yang ada nama saya satu penghormatan.
"Saya datang ke sini dua tahun lalu sebagai pemain asing tapi mereka menyukai saya seperti Stevie (Gerrard) atau Carra (Jamie Carragher). Ia sesuatu yang menakjubkan dan kerana itu saya berterima kasih terhadap mereka."
Torres juga percaya tidak lama lagi Liverpool akan menjulang satu lagi kejuaraan dan gelaran Liga Perdana Inggeris tidak jauh daripada jangkauan mereka.
Begitupun, pemain antarabangsa Sepanyol itu mengakui pelaburan besar yang dilakukan pasukan pesaing Liverpool bermakna tugas membawa kejayaan ke Anfield lebih sukar berbanding sebelumnya.
"Kelab seperti Manchester United, Chelsea dan Manchester City mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan bagi mendapatkan pemain yang bagus. Ia bukan caranya di Liverpool, jadi kami perlu cuba memperbaiki pasukan kami.
"Jika kami ingin mendapatkan peluang memenangi trofi, kami perlu melakukan lebih baik daripada sebelumnya. Kami sedia menghadapi cabaran," katanya.
Torres juga mendedahkan bahawa dia mahu menghabiskan tempoh terbaik sepanjang kariernya di Liverpool selepas menandatangani kontrak barunya, baru-baru ini.
Pemain Sepanyol itu menandatangani kontrak 110,000 pound (RM643,500) seminggu untuk membolehkannya berada di kelab itu sehingga 2013. Tawaran itu juga mempunyai pilihan lanjutan setahun dan Torres berharap ia bukan kontrak terakhir yang ditandatanganinya bersama Liverpool.
Torres yang menjaringkan 50 gol dalam 85 permainan sepanjang dua musim berkata: "Saya gembira kerana sejak saya bermula bersama Atletico, saya tidak pernah bermain dalam Liga Juara-Juara sebelum ini dan Liverpool memberikan saya peluang untuk menentang pasukan terbaik dunia.
"Saya benar-benar gembira dapat menandatangani kontrak baru bersama Liverpool dan saya berharap dapat menandatangani lebih banyak kontrak di sini.
"Ia adalah satu daripada kelab terpenting di Eropah dengan penyokong terbaik di dunia," katanya.
No comments:
Post a Comment